PPBMM gesa kembalikan martabat bahasa Melayu
BESUT 22 Mac - Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia
(PPBMM) menggesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian
Tinggi bersama-sama mengembalikan martabat bahasa Melayu dan
mendaulatkannya tanpa sebarang alasan.
Presiden PPBMM, Prof. Madya Dr. Hashim Othman berkata, memartabatkan
bahasa Melayu dan mengembalikan kedaulatannya perlu dilakukan melalui
aspek pengajaran dan pembelajaran, pembinaan istilah, penerbitan dan
penterjemahan serta pembudayaan bahasa Melayu.
Ini adalah antara perkara yang terkandung dalam resolusi pada mesyuarat
Jawatankuasa Eksekutif PPBMM yang bermesyuarat minggu lepas, katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Melalui aspek pengajaran dan pembelajaran, beliau berkata, peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua mata pelajaran kecuali
subjek pelbagai bahasa di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) perlu dikembalikan seperti tahun 2003 selain guru dan pensyarah
diberi latihan bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Melayu.
Semua pelajar aliran sastera dan sains digalakkan mengambil subjek
Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran elektif untuk memupuk
estetika, minat membaca dan memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu.
Dalam usaha pembinaan, penyelarasan, pemantapan istilah dan
penterjemahan buku dalam semua bidang pengetahuan pula, penglibatan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara (ITN) serta
IPTA perlu digerakkan semula secara aktif.
Selain itu penerbitan buku dan jurnal antarabangsa dalam bidang sains
dan teknologi diusahakan secara giat melalui kerjasama dengan negara
pengguna bahasa Melayu serantau.
Hashim yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia (USM)
berkata, usaha perlu digiatkan supaya guru dan pensyarah menghasilkan
penulisan mengikut bidang masing-masing untuk dimuatkan dalam pelbagai
jurnal iktisas dengan ganjaran dan pengiktirafan setimpal.
Bagi membudayakan bahasa Melayu pula, antara langkah yang boleh dibuat
termasuk memupuk rasa kebanggaan tulen terhadap bahasa dan budaya Melayu
dengan dilakukan secara terancang, menyeluruh dan berkesan yang
melibatkan semua pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, penerbitan buku , filem, perisian komputer, komik, video dan
seumpamanya dalam semua bidang ilmu dan seni digiatkan untuk
mengembangkan budaya membaca dan belajar selain mempelbagaikan kegiatan
kebahasaan kreatif dan inovatif perlu disusun dan dilaksanakan bagi
memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu di kalangan generasi muda. -
Bernama
