PERSATUAN PENDIDIK BAHASA MELAYU MALAYSIA
(NO. PENDAFTARAN: 1561-05-3)
RESOLUSI TENTANG KEDUDUKAN
BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN
• Menyedari bahawa Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang ialah
antara lima prinsip Rukun Negara yang wajib dijunjung dan dipertahankan;
• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan mengikut peruntukan
Perlembagaan Malaysia (Perkara 152);
• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama pendidikan
berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961, dan Akta Pendidikan
1996;
• Menyedari bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
(PPSMI) di sekolah dan IPTA merupakan pelanggaran peruntukan dalam
Perlembagaan Malaysia (Perkara 152), Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran
1961, dan Akta Pendidikan 1996;
• Menyedari bahawa dasar PPSMI turut mendorong pelanggaran Perlembagaan
Malaysia (Perkara 152) apabila kursus-kursus tertentu dalam bidang ilmu
kemanusiaan, sains sosial, dan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) diajarkan dalam bahasa Inggeris;
• Menyedari bahawa bahasa Melayu telah terbukti berjaya memainkan peranan
mengembangkan semua bidang ilmu dan menghasilkan ramai pakar dalam pelbagai
bidang;
• Menyedari bahawa bahasa Melayu telah berjaya memainkan peranannya sebagai
bahasa perpaduan rakyat berbilang kaum;
• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah teras jati diri bangsa dan budaya
Malaysia;
• Menyedari bahawa bahasa Melayu akan lemah dan terpinggir di negara ini
seperti nasib yang dialami oleh tulisan jawi;
• Menyedari bahawa bahasa Mandarin dibenarkan menjadi bahasa pengajaran mata
pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah Cina serta menjadi mata
pelajaran wajib di sekolah-sekolah terpilih;
• Meyakini bahawa bahasa yang terbaik untuk pembelajaran ialah bahasa ibunda
dan bahasa Melayu mempunyai penutur yang menjangkau 300 juta di seluruh
dunia;
• Meyakini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa untuk membina tamadun
bangsa; dan
• Menginsafi bahawa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dan
IPTA memerlukan usaha pemantapan yang berterusan;
MAKA
Kami, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia
yang bermesyuarat pada hari ini, Jumaat bersamaan 13 Mac 2009, membuat
ketetapan dan menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian
Tinggi, dan semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan supaya
mengembalikan martabat bahasa Melayu dan mendaulatkannya tanpa sebarang
alasan melalui tindakan meliputi perkara-perkara berikut:
A) PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
1. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua mata pelajaran
(kecuali mata pelajaran pelbagai bahasa) di sekolah dan IPTA dikembalikan
seperti sebelum tahun 2003 dan usaha yang gigih digerakkan bagi
memantapkannya.
2. Guru dan pensyarah diberi latihan dalam perkhidmatan yang berkesan dan
berterusan untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu
yang tinggi.
3. Pelajar aliran sastera dan sains digalakkan mengambil mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran elektif untuk memupuk estetika,
menggalakkan minat membaca dan memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu.
B) PEMBINAAN ISTILAH, PENERBITAN, DAN PENTERJEMAHAN
1. Usaha dalam pembinaan, penyelarasan, pemantapan istilah, dan
penterjemahan buku dalam semua bidang pengetahuan digerakkan semula dengan
penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, dan IPTA.
2. Penerbitan buku dan jurnal antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi
diusahakan secara giat melalui kerjasama dengan negara pengguna bahasa
Melayu serantau.
3. Usaha perlu digiatkan supaya guru dan pensyarah menghasilkan penulisan
mengikut bidang masing-masing untuk dimuatkan dalam pelbagai penerbitan dan
jurnal ikhtisas dengan ganjaran dan pengiktirafan yang setimpal.
C) PEMBUDAYAAN BAHASA MELAYU
1. Pemupukan rasa kebanggaan tulen terhadap bahasa dan budaya bahasa Melayu
dilakukan secara terancang, menyeluruh, dan berkesan dengan penglibatan
semua pihak yang bertanggungjawab.
2. Penerbitan buku, filem, perisian komputer, komik, video dan seumpamanya
dalam semua bidang ilmu dan seni digiatkan untuk mengembangkan budaya
membaca, dan belajar untuk terus belajar.
3. Pelbagai kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif hendaklah disusun
dan dilaksanakan bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam
kalangan generasi muda.
BAGI melaksanakan usul di atas, langkah-langkah berikut dicadangkan:
1. Semua wakil rakyat dan penjawat awam perlu menjadi contoh kepada rakyat
yang diwakili dengan menunjukkan sikap, tindakan, dan penghayatan terhadap
Perlembagaan Malaysia, dan memperjuangkan bahasa kebangsaan.
2. Setiap media perdana perlu memegang amanah dan tanggungjawab memupuk
semangat kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan untuk membina
jati diri bangsa melalui pelbagai penerbitan / rancangan.
3. Pemantauan terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada
setiap peringkat pendidikan hendaklah dilakukan oleh sebuah unit khas yang
ditubuhkan di Kementerian Pelajaran Malaysia / Kementerian Pengajian Tinggi.
4. Semua guru, pensyarah, dan pegawai pada setiap peringkat di Kementerian
Pelajaran Malaysia / Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah mengamalkan
bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan rasmi.
5. Penguasaan bahasa Inggeris pelajar pada semua peringkat pendidikan
hendaklah dipertingkat melalui strategi serta pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang tepat dengan menjadikannya sebagai mata pelajaran wajib
lulus.
