Pendidik bahasa pembina jati diri bangsa

Pendahuluan

Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (Pendidik Bahasa) ialah persatuan kebangsaan yang lahir atas keazaman untuk berusaha secara berterusan ke arah peningkatan martabat pendidik bahasa Melayu pada semua peringkat pendidikan dengan pengiktirafan masyarakat terhadap perkhidmatan berkualiti tinggi yang ditawarkan serta kepemimpinan yang berkesan. Keanggotaannya meliputi pendidik, penyokong, dan pakar bidang bahasa serta pendidikan bahasa Melayu dalam perjuangan memantapkan jati diri Malaysia dengan kesedaran dan kebanggaan menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Pendaftaran persatuan ini telah diluluskan pada 13 September 2005, diikuti majlis pelancarannya pada 17 September 2005 di Pulau Pinang.