Anda Berada Di: Home Undang-Undang Pertubuhan Persatuan
E-mail Cetak PDF

UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN PERSATUAN PENDIDIK BAHASA MELAYU MALAYSIA

  • FASAL 1 NAMA

    (1) Nama persatuan ini ialah PERSATUAN PENDIDIK BAHASA MELAYU MALAYSIA atau ringkasnya PPBMM yang selepas ini disebut Persatuan.

  • FASAL 2 TEMPAT URUSAN

    (2) Alamat tempat urusan Persatuan ialah d/a Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang.

  • FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

    (1) Logo Persatuan ialah yang berikut:

    logo


    (2) Huraian Lambang

    Titisan tinta biru yang membentuk sehelai daun sirih yang melambangkan komunikasi dan ilmu. Gabungan tulisan jawi membentuk kaligrafi yang merangkumi huruf pa, pa, ba, mim, dan mim ialah singkatan nama Persatuan yang membentuk mata pena di tengah-tengahnya bagi melambangkan kegiatan komunikasi / perhubungan.


    (3) Pengertian Lambang

    Formasi keseluruhan logo ini membentuk simbol perisai atau simbol pertahanan yang melambangkan matlamat utama persatuan mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia.

    (4) Pengertian Warna

    Tiga warna dalam logo melambangkan perkara berikut:
    - warna biru tua melambangkan perpaduan dan keharmonian
    - warna merah melambangkan semangat perjuangan dan keupayaan
    - warna kuning melambangkan kreativiti dan juga kedaulatan


  • FASAL 4 TUJUAN / MATLAMAT

    (1) Mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia;

    (2) Menyatukan pendidik dan pejuang bahasa Melayu dalam sebuah organisasi terancang demi kepentingan profesionalisme keguruan;

    (3) Menghimpun tenaga pakar dalam bidang pendidikan bahasa Melayu untuk menjana idea ke arah peningkatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu;

    (4) Menyediakan medan / forum untuk perbincangan tentang pelbagai permasalahan berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu;

    (5) Menyebarluaskan maklumat terkini dan relevan tentang perkembangan dan penyelidikan tentang bahasa dan pengajaran bahasa Melayu untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu; dan

    (6) Mencari, mendapatkan dan mengendalikan harta alih dan harta tak alih di mana-mana sahaja dalam negara Malaysia.


  • FASA 5 KEAHLIAN

    (1) Keahlian Persatuan terbuka kepada semua individu yang berkelayakan, berumur 18 tahun ke atas, atau institusi yang menyokong matlamat Persatuan, tertakluk kepada pembayaran yang dibuat berdasarkan Fasal 6, klausa 1, Undang-undang Persatuan ini.

    (2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Cawangan untuk diluluskan. Jawatankuasa Cawangan boleh, mengikut budi bicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. Permohonan menjadi ahli bagi tempat yang cawangan Persatuan belum ditubuhkan hendaklah diuruskan mengikut kaedah itu juga oleh Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Pusat.

    (3) Tiap-tiap permohonan yang telah diluluskan seperti tersebut di atas hendaklah, setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhak mendapat faedah dan kemudahan sebagai ahli.

    (4) Persatuan mempunyai enam kategori keahlian seperti berikut:

    a) Ahli Biasa:

    Mana-mana individu yang pernah atau sedang mengajar bahasa Melayu di semua institusi pendidikan layak untuk menjadi Ahli Biasa. Ahli Biasa mempunyai hak sebagai ahli dan berhak menikmati segala kemudahan, termasuk hak menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan, mengambil bahagian dalam kegiatan Persatuan, mengundi, dan hak memegang jawatan. Kelayakan keahlian berasaskan kewarganegaraan Malaysia dan bukti penglibatan dalam bidang pendidikan bahasa Melayu.

    b) Ahli Bersekutu:

    Mana-mana individu yang menggunakan bahasa Melayu dalam pengajarannya atau berjuang mendaulatkan bahasa Melayu termasuklah pelajar ijazah lanjutan dan bukan warganegara, boleh memohon untuk menjadi Ahli Bersekutu. Permohonan perlulah disokong dengan laporan oleh dua orang rujukan yang diterima oleh Jawatankuasa Pusat. Ahli Bersekutu layak menikmati hak sebagai ahli tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi atau memegang jawatan.

    c) Ahli Kehormat:

    Jawatankuasa Pusat boleh mempelawa mana-mana individu yang telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang pendidikan bahasa Melayu untuk menjadi Ahli Kehormat. Ahli Kehormat layak menikmati hak sebagai ahli tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi atau memegang jawatan.

    d) Ahli Institusi:

    Mana-mana institusi bahasa Melayu boleh memohon menjadi Ahli Institusi. Ahli Institusi layak menikmati hak sebagai ahli tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi atau memegang jawatan.
    e) Ahli Seumur Hidup:

    Sesiapa sahaja warganegara Malaysia yang memperjuangkan bahasa Melayu layak menjadi Ahli Seumur Hidup setelah membayar yuran RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus) sekali gus. Ahli Seumur Hidup layak menikmati segala hak dan kemudahan yang diperoleh sebagai Ahli Biasa.

    f) Ahli Pelajar:

    Terbuka kepada semua pelajar institusi pendidikan tinggi yang berusia 18 tahun ke atas tertakluk kepada kebenaran bertulis oleh Naib Canselor / Pengarah / Ketua Jabatan masing-masing. Ahli Pelajar layak menikmati hak sebagai ahli tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi atau memegang jawatan.


  • FASAL 6 BAYARAN MASUK,YURAN DAN BAYARAN LAIN

    (1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

    a) Yuran Pendaftaran: RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja)

    b) Yuran Tahunan Ahli Biasa: RM25.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Sahaja)

    c) Yuran Tahunan Ahli Bersekutu: RM20.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Sahaja)

    d) Yuran Tahunan Ahli Institusi: RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja)

    e) Yuran Tahunan Ahli Seumur Hidup: RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja) dibayar sekali gus

    f) Yuran Tahunan Ahli Pelajar: RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja)

    (2) Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Cawangan pada bulan pertama setiap tahun kewangan Persatuan. Jika cawangan belum ditubuhkan, pembayaran hendaklah disampaikan kepada Bendahari Agung atau kepada Setiausaha Agung.

    (3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua (2) bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha Agung atau Setiausaha Cawangan, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutang telah dijelaskan.
    (4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa Pusat boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima penyata berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

    (5) Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi mereka yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

    (6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat perwakilan Persatuan. Sekiranya ada ahli yang mungkin membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan,maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.


  • FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

    (1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Cawangan dan mejelaskan segala hutangnya.

    (2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemar nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi satu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Cawangan. Sebelum Jawatankuasa Cawangan memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung cawangan menunda atau membatal keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.


  • FASAL 8 MESYUARAT PERWAKILAN

    (1) Bagi undang-undang ini, “ahli terus” bermaksud ahli Persatuan yang tidak menjadi ahli cawangan; dan “wakil ahli” bermaksud wakil yang dilantik oleh ahli-ahli terus.

    (2) Pentadbiran Persatuan ini terserah kepada mesyuarat perwakilan yang mengandungi wakil-wakil cawangan, wakil-wakil ahli dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat. Mana-mana ahli Persatuan dengan persetujuan Presiden boleh hadir dalam mesyuarat perwakilan tetapi ia tidak boleh bercakap atau mengundi.

    (3) Wakil-wakil cawangan hendaklah dipilih setiap dua (2) tahun oleh cawangan masing-masing dan mereka boleh dipilih semula. Sesuatu cawangan berhak memilih dua (2) orang wakil bagi lima puluh (50) orang ahli yang pertama atau sebahagian daripada jumlah itu dan seorang wakil lagi bagi setiap dua puluh lima (25) ahli lebih daripada lima puluh (50) ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil bagi sesuatu cawangan tidak lebih daripada sepuluh (10).

    (4) Wakil-wakil ahli hendaklah dipilih setiap dua tahun oleh ahli-ahli terus dan mereka boleh dipilih semula. Sepuluh (10 wakil) boleh dipilih bagi seratus (100) ahli yang pertama atau sebahagiannya dan tambahan lima (5) wakil bagi lima puluh (50) ahli lebih daripada seratus (100) ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil ahli tidak lebih daripada tiga puluh lima (35).

    (5) Ahli Jawatankuasa Pusat tidak boleh dipilih menjadi wakil cawangan atau wakil ahli. Ahli Jawatankuasa Pusat dan wakil-wakil yang hadir berkuasa mengundi dalam Mesyuarat Perwakilan.

    (6) Kuorum untuk Mesyuarat Perwakilan dianggap cukup jika wakil-wakil yang hadir, tidak kira jumlahnya berjumlah lebih daripada jumlah wakil bagi setengah (1/2) bilangan cawangan dan lebih daripada setengah (1/2) jumlah wakil ahli terus Persatuan.

    (7) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada satu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat; dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, wakil-wakil yang hadir berkuasa untuk menjalankan mesyuarat pada hari itu tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan berkenaan semua ahli.

    (8) Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan bagi Persatuan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada bulan April pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Agenda Mesyuarat Perwakilan ialah:

    a) Menerima laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan perjalanan Persatuan bagi dua tahun lepas;

    b) Menerima laporan Bendahari Agung dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi dua tahun lepas;
    c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan dua orang Juruaudit untuk dua tahun akan datang;

    d) Menguruskan pekara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

    (9) Pengumuman awal tentang Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan, cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat, hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agung kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada enam puluh (60) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat, dan pengumuman ini hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di tempat urusan Persatuan yang telah didaftarkan. Tiap-tiap Setiausaha Cawangan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan tidak lewat daripada tiga puluh (30) hari setelah menerima pengumuman awal itu.

    (10) Nama-nama wakil, pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk dibincangkan dalam mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan atau ahli-ahli secara individu supaya sampai kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada empat puluh (40) hari selepas penerimaan pengumuman awal mesyuarat.

    (11) Setiausaha Agung, jika boleh, hendaklah mengadakan mesyuarat “ahli terus” tidak kurang daripada tiga puluh (30) hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan untuk melantik wakil-wakil ahli dengan syarat jika keadaan tempat yang jauh tidak sesuai bagi mengadakan mesyuarat, maka cara melantik waki-wakil ahli hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat.

    (12) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada Setiausaha Cawangan sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan, cadangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai berserta dengan penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah diberikan kepada tiap-tiap wakil cawangan dan wakil ahli dan salinan surat itu boleh diperoleh untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan atau di pejabat-pejabat cawangan.


    (13) Mesyuarat Khas Perwakilan bagi Persatuan ini boleh diadakan:

    a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat; atau

    b) Atas permintaan secara bertulis oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi dua cawangan atau lebih atau oleh tidak kurang daripada lima puluh (50) orang ahli terus dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

    (14) Mesyuarat Khas Perwakilan yang diminta oleh cawangan–cawangan atau ahli-ahli terus hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan permintaan mensyuarat itu.

    (15) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Khas Perwakilan itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan oleh Setiausaha Agung sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

    (16) Fasal 8(6) dan 8(7) dalam undang-undang ini berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Perwakilan boleh digunakan untuk Mesyuarat Khas Perwakilan, tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mensyuarat Khas Perwakilan itu atas permintaan cawangan-cawangan, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam (6) bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Khas Perwakilan yang dipohon dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

    (17) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan salinan rangka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Perwakilan atau Mesyuarat Khas Perwakilan dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu.


  • FASAL 9 JAWATANKUASA PUSAT

    (1) (a) Satu Jawatankuasa Pusat seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Perwakilan, iaitu:

    Seorang Presiden
    Seorang Timbalan Presiden
    Seorang Naib Presiden 1
    Seorang Naib Presiden 2
    Seorang Setiausaha Agung
    Seorang Penolong Setiausaha Agung
    Seorang Bendahari Agung
    Empat belas (14) orang Wakil Negeri
    Lapan (8) orang Ahli Jawatankuasa Biasa (Dua orang daripadanya dilantik oleh Presiden dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat). Semua ahli Jawatankuasa Pusat memegang jawatan selama dua tahun.
    b) Semua ahli yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Pusat dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah warganegara Malaysia.

    (2) Nama-nama untuk jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh wakil-wakil cawangan / ahli dalam Mesyuarat Perwakilan. Semua pegawai, kecuali Bendahari Agung boleh dilantik semula setiap dua tahun.

    (3) Fungsi Jawatankuasa Pusat adalah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara megenai perjalanan Persatuan mengikut dasar Am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat seharusnya tidak boleh mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa Pusat mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat hendaklah menyerahkan laporan kegiatan-kegiatannya bagi tahun lepas untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan.

    (4) Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga (3) bulan dan tujuh (7) hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada tiga (3) orang ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kuorum mesyuarat.

    (5) Jika timbul perkara mustahak yang memerlukan kelulusan Jawatankuasa Pusat sedangkan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pusat secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Pusat boleh dianggap sebagai telah diterima:

    a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa Pusat.

    b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

    c) Keputusan hendaklah dibuat berdasarkan undi terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan dalam peringatan mesyuarat.

    (6) Ahli Jawatankuasa Pusat yang mungkir daripada menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Pusat.

    (7) Jika seseorang ahli Jawatankuasa Pusat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk mengisi kekosongan itu. Jika tiada calon atau calon menolak jawatan itu, maka Jawatankuasa Pusat berkuasa melantik ahli Persatuan lain bagi mengisi kekosongan itu hingga Mesyuarat Perwakilan berikutnya diadakan.

    (8) Jawatankuasa Pusat boleh memberi perintah kepada Setiausaha Agung dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Persatuan. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai dalam pekerjaan, curang, tidak cekap atau mengingkari keputusan Jawatankuasa Pusat atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.


  • FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

    (1) Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi Mesyuarat Perwakilan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan bertanggunjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan ia hendaklah menandatagani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatagani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.

    (2) Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

    (3) Naib Presiden 1 hendaklah menjalankan urusan perhubungan dan komunikasi Persatuan dengan agensi luar, menguruskan operasi dan menyediakan takwim Persatuan, dan memangku jawatan Presiden atau Timbalan Presiden ketika ketiadaan mereka.

    (4) Naib Presiden 2 hendaklah menguruskan hal-hal berkaitan undang-undang Persatuan, membantu Naib Presiden 1 menjalankan tugas-tugasnya, dan menguruskan hal-hal berkaitan keahlian Persatuan.

    (5) Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja Persatuan mengikut undang-undang Persatuan dan ia hendaklah melaksanakan perintah Mesyuarat Perwakilan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat. Ia bertanggunjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas, kecuali akaun dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari Agung.

    (6) Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan keja-kerjanya dan memangku jawatan itu ketika ketiadaan Setiausah Agung.

    (7) Bendahari Agung bertanggunjawab terhadap semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah menyimpan akaun bagi semua urusan kewangan dan bertanggunjawab atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Agung.

    (8) Wakil negeri hendaklah memainkan peranan sebagai perantara antara Jawatankuasa Pusat dengan Jawatankuasa Cawangan.

    (9) Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa Pusat menjalankan semua tugas yang diarahkannya.


  • FASAL 11 KEWANGAN

    (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Persatuanan hendaklah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, pembiayaan dan perbelanjaan pegawai dan kakitangannya yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah.

    (2) Bendahari Agung dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang melebih jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat dalam tempoh tujuh hari. Akaun bank itu hendaklah atas nama Persatuan.

    (3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama-sama oleh Presiden (atas ketiadaannya oleh Timbalan Presiden), Setiausaha Agung dan Bendahari Agung. Ketika ketiadaan Setiausaha Agung atau Bendahari Agung, Jawatankuasa Pusat boleh melantik mana-mana ahli Jawatankuasa Pusat sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.

    (4) Perbelanjaan yang melebihi RM3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa kelulusan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pusat, dan perbelanjaan yang melebihi RM10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Perwakilan terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu Sahaja) boleh diluluskan oleh Presiden bersama-sama dengan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.

    (5) Penyata tentang wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan dan diperiksa oleh juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan.Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Perwakilan yang berikutnya dan salinannya boleh didapati untuk makluman ahli pada alamat tempat urusan Persatuan yang berdaftar dan di pejabat setiap cawangan.

    (6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula pada 1 haribulan Januari dan berakhir pada 31 Disember setiap tahun.


  • FASAL 12 JURUAUDIT

    (1) Dua orang yang bukan pegawai Persatuan boleh dilantik dalam Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan tidak boleh dilantik semula.

    (2) Juruaudit dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan dan cawangan-cawangan bagi dua tahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan. Mereka juga boleh dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan atau cawangan-cawangan dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.


  • FASAL 13 PENGAMANAH

    (1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Perwakilan, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikhendaki oleh Persatuan. Semua harta tak alih milik Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatagani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

    (2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik dan menukarkan harta kepunyaan Persatuan tanpa persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Perwakilan.

    (3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatan oleh Mesyuarat Perwakilan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab-sebab lain yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas atau pekerjaan dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pengamanah, maka kekosongan itu boleh diisi oleh Pengamanah baru yang dilantik dalam Mesyuarat Perwakilan dengan secepat mungkin.


  • FASAL 14 PEMBUBARAN

    (1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) jumlah semua wakil cawangan / ahli yang hadir dalam sesuatu Mesyuarat Perwakilan yang dipanggil khas kerananya.

    (2) Sekirannya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka, segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Perwakilan berkenaan.

    (3) Kenyataan tentang pembubaran itu hendaklah disampikan kepada Pendaftar Persatuan dalam masa empat belas hari (14) hari daripada tarikh pembubaran itu.


  • FASAL 15 PENUBUHAN DAN PEMBUBARAN CAWANGAN-CAWANGAN

    (1) Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan cawangan di kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya lima puluh (50) ahli Persatuan. Penubuhan cawangan hendaklah dibenarkan secara bertulis oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
    (2) Jawtankuasa Pusat boleh membubarkan cawangan:

    (a) Jika bilangan ahli dalam tempoh enam bulan berturut-turut kurang daripada lima puluh (50), atau

    (b) Jika cawangan itu tidak mematuhi undang-undang Persatuan atau keputusan Mesyuarat Perwakilan atau Jawatankuasa Pusat atau jika Jawatankuasa Pusat mendapatinya bersalah kerana perbuatannya mencemarkan Persatuan.

    (3) Keputusan membubarkan cawangan hendaklah dengan undi terbanyak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, dengan syarat sebelum diambil keputusan membubarkan cawangan atas sebab yang disebutkan dalam Fasal 15(2)(b) di atas, cawangan yang berkenaan hendaklah diberi suatu notis selama 30 hari terlebih dahulu dan diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.

    (4) Perintah pembubaran hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Agung. Cawangan tidak boleh bergerak mulai dari tarikh penerimaan perintah tersebut kecuali untuk urusan penyelesaian. Sebarang cawangan yang musykil atas perintah pembubaran boleh, dengan kenyataan bertulis kepad Setiausah Agung dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan perintah tersebut, membuat rayuan kepada Mesyuarat Perwakilan.Walaupun rayuan telah dibuat, namun perintah pembubaran masih berkuat kuasa sehingga dibatalkan, tetapi dalam keadaan yang demikian Jawatankuasa Pusat boleh melantik satu jawatankuasa penjaga daripada ahli-ahli untuk menguruskan hal ehwal cawangan itu sementara rayuan tersebut dipertimbangkan.

    (5) Jika sesuatu cawangan ditutup kerana sebab yang disebutkan dalam Fasa 15(2)(a) dia atas, maka Jawatankuasa Pusat hendaklah memindahkan ahli-ahli yang ada kepada cawangan yang hampir sekali, dan jika cawangan ditutup kerana sebab dalam peraturan 15(2)(b) di atas, maka ahli-ahli akan terhenti menjadi ahli Persatuan.

    (6) Adalah menjadi kewajipan Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari bagi cawangan itu menyerahkan kepada setiausaha Ahung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lainnya yang dimiliki oleh cawangan berserta dengan penyata kira-kira cawangan itu daripada tarikh akhir pengemukaan penyata kira-kira itu dibentangkan tarikh perintah pembubaran.

    (7) Jika ahli-ahli sesuatu cawangan memutuskan hendak keluar daripada Persatuan, maka pegawai-pegawai cawangan itu dengan serta merta mestilah menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lain Persatuan dan seterusnya menyedia dan menyerahkan penyata kira-kira kepada Setiausaha Agung seperti dalam Fasal 15(6) di atas.


  • FASAL 16 MESYUARAT AGUNG CAWANGAN

    (1) Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan akan diadakan tidak lewat daripada 30 hari selepas menerima pemberitahu awal mengenai Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan supaya pemberitahuan mengenai masa, tarikh dan tempat Mesyuarat Agung Dwitahunan cawangan akan dikeluarkan dengan sewajarnya.

    (2) Kerja-kerja Mesyuarat Dwitahunan Cawangan ialah untuk:

    (a) Menerima laporan Bendahari Cawangan dan Kira-kira Cawangan yang telah diaudit bagi dua tahun lepas.

    (b) Memilih wakil-wakil Mesyuarat Perwakilan untuk dua tahun akan datang.

    (c) Memilih Jawatankuasa Cawangan dan Juruaudit cawangan untuk dua tahun akan datang.

    (d) Membincangkan perkara-perkara lain yang akan dibentangkan.

    (3) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan pemberitahuan awal yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat, panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai cawangan.

    (4) Pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk perbincangan dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada tujuh (7) hari selepas penerimaan pemberitahuan awal mesyuarat.

    (5) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum diadakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan, satu agenda (acara mesyuarat) termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan berserta dengan penyata kira-kira cawangan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan-salinan surat ini juga boleh diperoleh untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan cawangan.


    (6) Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli-ahli cawangan berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa cawangan, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kuorum untuk mesyuarat.

    (7) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada tujuh (7) hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan, dan jika kuorum tidak cukup selepas setangah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli berkuasa menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

    (8) Suatu Mesyuarat Agung Khas Cawangan hendaklah diadakan:

    (a) Atas arahan Jawatankuasa Pusat; atau

    (b) Apabila Jawatankuasa Cawangan memikirkannya mustahak

    (c) Atas permintaan bertulis tidak kurang daripada ahli cawangan dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan mesyuarat itu.

    (9) Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli hendaklah diadakan dalam tempoh lima belas (15) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

    (10) Fasal 16(6) dan 16(7) dalam undang-undang ini berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas Cawangan, tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli tersebut,maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

    (11) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada setiap ahli dan Setiausaha Agung satu salinan draf catatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan dengan seberapa segera yang boleh setelah mesyuarat itu selesai.




  • FASAL 17 JAWATANKUASA CAWANGAN

    (1) (a) Sesuatu Jawatankuasa Cawangan seperti berikut yang akan dikenali sebagai Pemegang Jawatan Cawangan akan dipilih pada setiap Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan, iaitu:

    Seorang Yang Dipertua Cawangan
    Seorang Naib Yang Dipertua Cawangan
    Seorang Setiausaha Cawangan
    Seorang Penolong Setiausaha Cawangan
    Seorang Bendahari Cawangan, dan
    Enam (6) Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan.

    (b) Semua ahli yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Cawangan dan tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam cawangan hendaklah warganegara Malaysia.

    (2) Nama-nama untuk jawatan yang di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan Cawangan. Semua pegawai kecuali Bendahari Cawangan boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

    (3) Pekerjaan Jawatankuasa Cawangan ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian cawangan mengikut undang-undang Persatuan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Cawangan hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga (3) bulan dan cukup kuorum jika hadir satu perdua (1/2) daripada ahli-ahli. Setiausaha Cawangan akan memberi satu salinan peringatan tiap-tiap mesyuarat kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada tiga puluh hari (30) hari selepas mesyuarat itu diadakan.


  • FASAL 18 TUGAS-TUGAS PEGAWAI-PEGAWAI CAWANGAN

    (1) Yang Dipertua Cawangan dalam tempoh memegang jawatannya akan menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung Cawangan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.Ia mempunyai undi pemutus setelah diluluskan. Ia hendaklah menandatagani semua cek cawangan bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan.

    (2) Naib Yang Dipertua Cawangan akan memangku jawatan Ynag Dipertua Cawangan semasa ketiadaanya.

    (3) Setiausaha Cawangan hendaklah menjalankan kerja-kerja cawangan mengikut undang-undang dan ia hendaklah menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Cawangan dan Jawatankuasa Cawangan. Ia bertanggunjawab menguruskan hal-hal surat menyurat cawangan dan membuat catatan.Ia hendakkah menandatagani semua cek cawangan bersama-sama dengan Yang Dipertua Cawangan dan Bendahari Cawangan.

    (4) Penolong Setiausaha Cawangan hendaklah membantu Setiausaha Cawangan menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu dalam masa ketiadaannya.

    (5) Bendahari Cawangan adalah bertanggunjawab berkenaan semua hal kewangan cawangan.Ia hendaklah mengurus dan menyimpan kira-kira mengenai urusan kewangan cawangan dan bertanggunjawab di atas ketepatannya.

    (6) Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan hendaklah membantu Jawantankuasa Cawangan menjalankan sebarang tugas yang diarah olehnya.


  • FASAL 19 KEWANGAN CAWANGAN

    (1) Semua wang yang dikutip di Ibu Pejabat dan Cawangan-cawangan Persatuan akan menjadi aset bersama Persatuan.

    (2) Mesyuarat Dwitahunan Perwakilan akan menentukan dari semasa ke semasa peratusan kadar yuran akan disimpan di cawangan sebagai kumpulan wang cawangan dan akan menetapkan jenis-jenis perbelanjaan yang akan menggunakan wang cawangan.

    (3) Tiap-tiap Bendahari Cawangan akan menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15 haribulan.Tiap-tiap bulan yuran-yuran yang diterima oleh cawangan setelah ditolak peratusan yang disimpan sebagai kumpulan cawangan.

    (4) Bendahari Cawangan akan juga menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15 haribulan tiap-tiap bulan suatu penyata pendapatan dan perbelajaan cawangan bagi bulan lepas.

    (5) Semua wang Cawangan hendaklah disimpan atas nama cawangan dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Cawangan dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Yang Dipertua Cawangan, Bendahari Cawangan dan Setiausaha Cawangan. Bendahari Cawangan dibenarkan menyimpan wang dalam tangan sebanyak tidak lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Perbelanjaan yang melebihi RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) pada suatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperolehi terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Cawangan dan perbelanjaan yang kurang RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sah) bagi suatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua Cawangan bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan.

    (6) Semua wang, buku dan harta-harta lain Persatuan yang dipegang oleh mana-mana Cawangan yang telah dibubarkan akan dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Agung, bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagaimana dinyatakan pada Fasal 15(6) dan 15(7).


  • FASAL 20 PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UMUM MENGENAI CAWANGAN

    (1) Di mana peruntukan khas tiada tersebut dalam undang-undang ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran cawangan-cawangan Persatuan, undang-undang yang berkenaan mengenai pentadbiran Ibu Pejabat Persatuan akan diikuti sejauh mana yang sesuai.

    (2) Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat akan memberi arahan kepada Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Cawangan mengenai pentadbirannya.


  • FASAL 21 PINDAAN UNDANG-UNDANG

    Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan.Permohonan untuk perubahan dan pindaan undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Perwakilan meluluskan mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.


  • FASAL 22 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

    (1) Di antara berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat perwakilan, Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan apabila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung dalam undang-undang ini.

    (2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Perwakilan, keputusan Jawatankuasa Pusat ke atas ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Perwakilan.


  • FASAL 23 LARANGAN

    (1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkas, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker`s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

    (2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja,1959.

    (3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri, sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

    (4) “Faedah” seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.
  •  

    Statistik

    mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
    mod_vvisit_counterHari Ini84
    mod_vvisit_counterKelmarin87
    mod_vvisit_counterMinggu Ini459
    mod_vvisit_counterMinggu Lepas897
    mod_vvisit_counterBulan Ini3223
    mod_vvisit_counterBulan Lepas2504
    mod_vvisit_counterSemua Hari200319